Archive | May, 2010

Berantakan Album Launching diserbu polis

27 May

Pada pukul 11.30p.m, sedang gig berlangsung yang menghampiri penghujungnya, kami dikejutkan oleh beberapa budak-budak yang berlari bertempiaran ke bahagian belakang Noisy. Mereka menyampaikan akan kehadiran polis yang membuat sebuan! Gig kali ini adalah gig pelancaran album band Bukit Bintang Pyrate Punks, Berantakan. Seramai lebih 150 orang hadir.

Terdapat spekulasi dari beberapa sumber terdekat, aduan telah dibuat kerana gangguan trafik dan kekecohan budak-budak chaos punk yang berkeliaran dibahagian hadapan Noisy. Teman-teman yang sedang makan di kedai mamak bersebelahan Noisy turut diminta untuk menyerahkan kad pengenalan mereka. Yang enggan lepas dari kena angkut. Muda mudi yang berkeliaran disekeliling Noisy turut disapu naik 4 buah trak polis. Ada yang sempat melarikan diri. Ada yang mahu ditangkap bersama rakan untuk solidariti.

Dalam masa semua ini berlaku, saya dan rakan-rakan yang lain yang mempunyai internet didalam telefon bimbit mula menyebarkan berita dalam Facebook. Berita tersebar dengan pantas. Ramai yang menelefon rakan-rakan yang berada di Noisy untuk mengetahui situasi. Teman-teman yang berada dibahagian depan yang tidak ditangkap mengatakan polis secara am-nya tidak terlalu kasar. Memandangkan acara konsert anak muda sering menjadi sasaran polis dari bahagian narcotik ia menjadi lubuk mudah mengklasifikasi dan mengaitkan anak muda dengan dadah atau kegiatan kurang bermoral selain dilaluan motor dijalan raya. Semua berdasarkan usia dan kelas. Tambahan juga penampilan yang tidak mengikut norma masyarakat. Ada teman yang cuba mempraktikkan hak dalam berdepan dengan polis dengan meminta kad kuasa salah seorang daripada anggota polis disitu tetapi seperti biasa, soalan itu adalah seperti satu cabaran akan kekuasaan yang “dianugerahkan” kepada mereka yang “tidak patut” dipersoalkan walaupun mereka pada ketika itu berpakaian biasa. Soalan itu disahut dengan ancaman untuk menangkap rakan yang bertanya tadi. Masalah institusi polis adalah kuasa yang diberikan kepada mereka. Fungsi mereka adalah untuk melindungi kepentingan yang berkedudukan tinggi dan kaya. Golongan yang lain adalah bersalah dan harus diperiksa kesalahan mereka.

Pada pukul 12.30a.m, pengunjung gig dihimpunkan di Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya dimana mereka diperiksa air kencing untuk mengesan penggunaan dadah. Mereka disuruh duduk di dataran jalan tar dihadapan bangunan polis tersebut. Ada yang ditahan mengeluarkan kata-kata tidak puas hati menyamakan mereka dengan lembu ternakan yang disuruh mengikut arahan. Mereka diarah bangun kemudian duduk. Diatur dalam pisahan jantina dan diberi nombor. Ramai yang tidak berpuashati kerana hiburan mingguan mereka diganggu oleh pihak polis. Antaranya datang dari sejauh Kedah. Walaubagaimana pun, tidak ada konfrentasi yang tegang dengan pihak polis. Cuma kekecohan suara dari budak-budak yang agak ting tong semasa didalam trak polis. Semua mahu menenangkan hati masing-masing dan tidak mahu menimbulkan masalah.

Rakan-rakan yang tidak berada ditempat kejadian dihubungi untuk bantuan dari segi prosidur undang-undang bagi tahanan. Peguam dari Bar Council dihubungi untuk bantuan guaman. Ramai rakan-rakan yang datang untuk solidariti. Beberapa ibubapa juga datang selepas dihubungi anak-anak mereka. Terdapat seorang ibu yang datang awal ke Noisy apabila operasi penahanan dilakukan. Beliau dihubungi oleh anak perempuan beliau kerana anaknya itu tidak membawa kad pengenalan. Hal menjadi lebih rumit apabila diketahui bahawa budak perempuan itu berusia 18 tahun (21 tahun adalah had umur bagi pengunjung tempat seperti kelab dsbnya). Saya sempat bersembang dengan ibunya diluar balai polis tersebut dan ibunya sangat tidak berpuashati kerana beliau mengatakan kebencian terhadap polis sejak dahulu lagi. Beliau mengatakan yang minat anak beliau kepada musik tidak pernah dihalang walau apa jenis musik yang dipilih oleh anak beliau. Malahan, beliaulah yang menghantar anak perempuan beliau ke tempat gig dan mengambil apabila selesai gig. Ada juga pengaduan tentang kekasaran pihak polis apabila beliau bertanya akan keadaan anak beliau. Ibu ini tekad tidak mahu berganjak diluar balai polis itu selagi anaknya berada didalam tahanan polis.

Apabila kami sampai di balai tersebut, kami meminta untuk masuk dalam perkarangan balai tersebut dimana tahanan dihimpunkan untuk memerhatikan dengan lebih dekat lagi prosedur yang akan dijalankan tetapi dihalangi oleh polis berpakaian seragam penuh memegang senapang yang menjaga pintu pagar ibu pejabat tersebut. Keinginan untuk masuk disoal sebabnya. Kami mengatakan mahu memastikan keadaan rakan-rakan kami dalam keadaan baik. Salah seorang polis yang berpangkat lebih tinggi dari polis yang mengawasi pintu pagar itu menghulurkan tata susila diplomatik untuk menyuruh kami tunggu sehingga proses pemeriksaan air kencing itu selesai.

Jam telah menunjukkan jarum ke angka 2, separuh dari tahanan sudah selesai memberikan air kencing mereka kepada polis. Kertas litmus yang dicelupkan ke dalam air kencing bertukar warna yang tidak sepatutnya akan menyebabkan mereka digari dan dipisahkan dari yang lain. Salah seorang perempuan dari ahli band Kill The Apprentice (Aus) digari kerana tidak membawa pasport dan positif marijuana dalam air kencingnya. Hal ini tiba-tiba menjadi isu kerakyatan. Rakan beliau menangis dan yang lain dari band yang sama menunjukkan riaksi muka yang letih dan risau. Masalah lebih besar bagi rakyat asing dinegara ini.

Sebuah kereta Perdana hitam tiba dipengkarangan balai tersebut lalu mengeluarkan kelibat seorang lelaki berusia 40-an yang berbadan gempal dalam pakaian serba biru gelap (warna rasmi pakaian polis) dan kelihatan segak seperti berkedudukan tinggi. Lelaki tersebut diidentifikasi sebagai ketua operasi/penyiasat atau lebih tinggi. Beberapa polis yang berdekatan memberi salam hormat kepada beliau dan kemudian kelihatan beliau mula melakukan pusingan “beramah mesra” dengan tahanan. Pada masa yang sama, wartawan dari media korperat juga tiba diluar pagar balai. Antaranya adalah RTM, Sin Chew, dan Malay Mail. Mereka menanti untuk mendapatkan habuan cerita mereka. Jurukamera mereka mula mengambil gambar dari celahan pagar yang mana kami juga berdiri melihat segala proses polis keatas tahanan. Seorang polis menyuruh jurukamera itu untuk berhenti mengambil gambar kerana nanti ada sesi untuk wartawan. Keadaan sama terjadi kepada rakan kami yang mengambil video pada ketika itu.

Kelihatan polis memegang kayu atau rotan yang panjang mengawal sekeliling tahanan. Semuanya berpakaian biasa. Tidak lama kemudian, pengurus Noisy dipanggil menghadap ketua penyiasat tersebut. Mungkin ditanya mengenai acara dan latarbelakang tempat yang diadakan gig pada malam itu. Pada saat ini, terdapat beberapa desas desus mengatakan pihak polis mahu mengenakan tuduhan perhimpuanan haram keatas tahanan-tahanan dan melibatkan pihak jabatan agama dalam penggunaan arak (kerana majoriti adalah Melayu). Ramai yang menerima berita ini marah akan tindakan yang boleh dilakukan polis keatas sesiapa dan pada bila-bila masa yang mereka mahu dan pilih. Walaupun acara itu adalah tertutup bagi tujuan pelancaran album yang mana kemasukan adalah tanpa bayaran. Ada juga yang mengatakan Noisy akan dikaitkan dengan parti pembangkang kerana di dinding Noisy dipenuhi contengan berunsur politikal yang menentang authoriti dan kerajaan.

Setelah berjam-jam menunggu untuk diproses, salah seorang ahli band Kill The Apprentice mengeluarkan harmonika lalu meniup sayup kesedihan memecahkan sunyi keheningan malam. Seorang rakan berkata, harmonika adalah alat musik tahanan di penjara. Simbolik. Di celahan batu pagar, kami melihat yang memisahkan kebebasan dari kawalan. Kami melihat aturan yang mahu dirantaikan keatas golongan yang mahu menentang. Cebisan pakaian diatas badan menjadi pemisah antara yang diterima atau difahami.

4.00a.m, tahanan mula dilepaskan. Terpancar pada wajah mereka kelegaan yang membolehkan mereka tidur enak dibantal empuk dan bukan dilantai simen lokap. Bagi tahanan yang tersekat kerana kandungan air kencing mereka, kengerian 4 dinding menyempitkan hidup mereka adalah realiti pada Subuh hari Wesak ini. Ditangkap pada hari yang jatuh pada hari cuti adalah malang sekali kerana tiada majistret yang boleh dijumpa untuk membenarkan jamin. Hanya boleh menghitung hari sehingga hari berkerja. Peguam menasihat agar kami tunggu hari Isnin, waktu mereka berkerja semula.

Memandangkan majoriti tahanan telah dilepaskan, ada antara kami pulang ke Noisy semula untuk melihat keadaan disana dan memastikan alatan musik yang ditinggalkan selamat. Apabila kami tiba didepan Noisy, terdapat sebuah kereta peronda polis dan dua orang polis mengawal motorsikal yang diletakkan dihadapan kedai-kedai sederet dengan Noisy. Rupanya mereka ditugaskan menjaga motorsikal tahanan agar tidak dicuri. Diketahui selepas malam tersebut bahawa tahanan yang mengadu tentang keselamatan motorsikal mereka, maka perkhidmatan polis itu disediakan. Salah seorang polis itu meminta untuk menggunakan tandas Noisy. Mungkin keinginan untuk tahu bagaimana rupa ruangan dalam Noisy atau tindakan refleks hasil latihan polis untuk menyiasat. Dia mengatakan dia takut dengan gambar dan tulisan dicontengkan diatas dinding.

Ada yang berkata tidak patut polis berada berdekatan dengan motorsikal budak-budak yang ditahan kerana ini akan menakutkan mereka untuk mengambil motorsikal mereka. Beberapa orang dari band datang untuk mengambil alatan musik mereka. Ruangan Noisy dibersihkan serba sedikit dan diketahui selepas itu dari rakan yang ada di Noisy pada ketika operasi, Noisy digeledah. Sofa diselak, bucu-bucu dilihat, dan buku-buku diperiksa.

Pada pukul 7.15a.m, 3 orang polis yang menghantar pengurus Noisy balik ke Noisy telah masuk semula ke dalam Noisy dan memeriksa bilik yang berada dibelakang Noisy. Polis mengatakan selepas ini gig boleh berjalan seperti biasa, cuma dinasihatkan agar Noisy mengawal crowd dari berkeliaran di jalanraya dan luar kedai-kedai yang lain.

Beberapa jam selepas itu kami mendapat maklumat melalui sms tentang rakan-rakan yang masih berada di dalam tahanan polis. Mereka menghabiskan 2 malam didalam lokap dan sehari selepas operasi mereka dibawa ke mahkamah untuk dihadapkan kepada majistret dimana mereka dijamin oleh rakan-rakan.

Selepas kejadian ini berlaku di Noisy, tedapat banyak perbincangan dan penceritaan tentang kronologi oleh rakan-rakan yang menyaksikan dan mengalami penangkapan dalam operasi tersebut. Antara perbincangannya adalah bagaimana untuk menjadikan space Noisy lebih selamat untuk dijalankan show selepas ini, penggunaan alkohol dalam dan luar premis, pemilihan organizer gig dan band yang dijemput untuk perform, penglibatan pengunjung gig yang berusia bawah had umur yang dibenarkan dalam premis yang mempunyai alkohol (21 ke atas), penglibatan pengaruh polis dalam proses membuat keputusan (autonomy), mengenalkan suatu garis aturan untuk organiser gig dan pengunjung gig, dsbnya.

Antara kronologi kejadian yang diketahui oleh rakan-rakan yang ditahan yang mungkin berguna untuk dicatatkan disini adalah salah seorang dari tahanan yang didapati air kencingnya positif mengambil dadah adalah seorang straight edge yang tidak pernah menyentuh dadah seumur hidup beliau. Ahli band Kill The Apprentice yang ditahan mengambil langkah drastik dengan mengelar pergelangan tangan beliau dan menghantukan kepala ke dinding lokap selepas beliau dihadapkan ke majistret. Setelah dilepaskan dengan jamin, polis telah mendapat maklumat tentang lokasi gig yang seterusnya oleh band ini dan mereka telah melakukan operasi sekali lagi di tempat gig tersebut. Walaupun tiada tangkapan dibuat akan tetapi 4 buah band yang terakhir tidak dapat bermain pada malam tersebut termasuk band Kill The Apprentice ini. Ada diantara rakan-rakan yang bercerita ketika minum di kedai mamak mengatakan mungkin band ini tidak akan datang dan tour di Malaysia selepas ini disebabkan oleh tekanan polis kepada mereka. Banyak band yang telah tour di Malaysia tetapi mungkin tidak mendapat layanan yang teruk seperti mana band dari Australia ini. Laporan tentang “Operasi Tapis” ini didapati di dalam suratkhabar tempatan seperti Malay Mail dan tersiar di berita RTM1.

Operasi seperti ini sudah beberapa kali dilakukan oleh pihak polis dimana anak muda lazimnya berkumpul terutama di tempat tertutup seperti di tempat gig. Di ingat kembali kes Tahun Baru 2005, sebuah gig di Paul’s Place diberhentikan dan seramai lebih kurang 100-200 anak muda ditahan dan diuji air kencing mereka di Ibu Pejabat Polis Brickfields. Ini juga diikuti laporan yang mengejutkan komuniti musik underground dimana Black Metal dikaitkan dengan acara gig tersebut. Beberapa hari selepas itu, kita disuapkan dengan cerita sensasi Black Metal yang dikatakan menyesatkan. Genre Black Metal telah dikambing hitamkan untuk mendapatkan sokongan orang umum yang menghadap media perdana sebagai sumber berita utama mereka. Wartawan tidak beretika dan hanya mahu mencetak berita sensasi yang boleh melariskan suratkhabar mereka. Ramai diantara yang ditahan (antaranya seorang peguam), pemilik tempat gig, dan dari komuniti musik yang bersimpati telah membentuk satu gabungan untuk menyekang persepsi negatif media dan masyarakat terhadap musik underground.

Hasil daripada gabungan ini, sebuah protes berbentuk candle light vigil diadakan di depan pejabat dan kilang suratkhabar utama di Bangsar (Utusan atau New Straits Times kalau tak silap saya) untuk mementaskan ketidakpuashatian terhadap laporan media dan tindakan polis menganak tirikan golongan anak muda yang mengikuti konsert atau gig pilihan mereka hanya untuk mencukupkan kuota tangkapan setiap kali berlangsungnya hari sambutan keramaian. Gabungan ini mendapat sokongan beberapa badan bukan kerajaan dan ahli politik pembangkang yang pada ketika itu belum memenangi kerusi di Parlimen. Protes ini menyaksikan pada pertama kalinya, seramai 50 anak muda dari musik scene turun ke jalan pada malam bersejarah itu. Ada rakan yang datang dari sejauh Johor. Banyak sekali sepanduk dibuat untuk protes ini. Ucapan dari pelbagai pihak diutarakan. Protes ini berjalan dengan lancar tanpa gangguan polis semasa dihadapan pejabat tersebut. Walaubagaimanapun, 2 buah kereta polis peronda telah mengasak protestor yang sedang berarak dengan aman sambil memegang lilin dan sepanduk ke arah LRT Bangsar/Bangunan MalaysiaKini iaitu tempat bersurai selepas perarakan. Ramai yang melarikan diri dan tiada tangkapan dibuat.

Sayang sekali gabungan ini tidak aktif dan terkubur tidak lama selepas itu. Ada ura-ura mengatakan wakil di dalam gabungan ini lebih mahu menekankan isu label Black Metal yang dikaitkan dengan mereka oleh media daripada menyoal kuasa polis ke atas kebebasan berekspresi, berkarya dan berkumpul. Sejauhmana kebenarannya, tidak saya ketahui. Mungkin rakan lain boleh berkongsi info tentang gabungan ini.

Setelah beberapa episod harrasment daripada tangan kerajaan yang bergelar polis, apakah kita telah atau mahu lakukan dalam merebut sedikit kemenangan dan dalam masa yang sama mencabar institusi menindas ini? Adakah cukup apa yang telah dilakukan dalam kelompok kita? Mungkin gabungan yang boleh bertindak untuk menjaga kepentingan ahli musik dan tempat musik sepertimana dicitakan hasil dari percikan operasi yang menahan geng yang dituduh “Black Metal” itu adalah salah satu caranya? Atau penerangan tentang budaya musik underground dan fahamannya harus diperbanyakkan seperti siaran dokumentari Edge yang dihasilkan oleh Marc Pierschel dan Michael Kirchner baru baru ini? Sejauh mana kemahuan kita mengasimilasikan fahaman dan cara kita dengan masyarakat yang terdekat? Mungkin dapat kita mengambil iktibar dari scene yang lain seperti komuniti terdekat di Indonesia? Polis adalah musuh setiap individu “bebas”. Apakah ada kemungkinan untuk mencari rekahan dalam sistem ini untuk mencapai kesatuan dalam menentang?

Advertisements

Sabtu, 22 Mei 2010 – Rice Above #11

22 May

Unfortunate Fridays Gig

14 May

Sesi Mengemas Ruang Gudang Noisy

12 May

Pada Sabtu & Ahad  (8-9/10)  telah berlangsungnya sesi bergotong royong bersama geng Coathangers Revolt untuk membersihkan ruang Gudang Noisy. Seperti yang  dinyatakan didalam Manifesto, ruang ini akan digunakan untuk menjalankan aktiviti komuniti dimasa akan datang jadi kenalah bersih sikit. (^_^)

Beberapa hari yang lalu, rakan-rakan yang tinggal berdekatan dengan lokasi gudang ini telah mula mengemas sedikit sebanyak diruangan dapur dimana terdapat banyak sampah hasil buangan yang diyakini mahu dikitar semula spt. botol plastik dan kaca, tin minuman, dan bekas spray can. Kami mengasingkan bahan-bahan ini untuk dijual nanti. Kumpul duit untuk aktiviti BBQ nanti (Gudang Warming). Serius banyak serangga yang menghuni disini.. Cik T pun ada.

Kerja-kerja pembaikipulihan dilakukan dahulu seperti memasang faucets (kepala paip) di sinki dan di tandas. Mujur Rat meminjamkan gergaji elektrik, dapatlah kami potong plywood untuk dijadikan para rak besi dibelakang sebagai tempat meletak barang-barang. Alat-alatan yang diperlukan untuk membantu kerja pembersihan juga telah dibeli. Segala transaksi pembelian telah dicatatkan didalam page CashFlow bagi memastikan ketelusan. Tedapat juga beberapa alat yang kami perlukan seperti driller dsbnya (akan di-update nanti senarai alatan yang diperlukan). Kami berharap dapat dipinjamkan atau didonasi dari rakan-rakan yang membaca ini. Tolong ye…

Pada hari Ahad, kami disajikan dengan nasi+beehun bersama sup tomyam vegan yang dibawa oleh Nollie dan Shah. Sebelum berkerja kena recharge tenaga dulu.  Maka bermulalah sesi mengemas, menyapu, menghilangkan habuk dan sawang, dan mengecat dinding.  Dinding yang putih akan dilakar mural cerita sejarah. Dinding hitam akan diconteng dengan message menggunakan spray warna cerah atau kapur. Maaf kepada teman-teman yang telah menyumbangkan ekspresi personal anda di ruangan ini sebelum ini kerana kami terpaksa padam tanda anda. Ini adalah suatu permulaan untuk lebih banyak ekspresi baru.

Dipintu belakang gudang ini terdapat sebuah kuil yang memelihara anjing-anjing liar. Kelihatan seperti garang tetapi hanya apabila bersama penjaga mereka, seorang makcik yang usianya lebih 50 tahun. Mungkin mereka menyalak tanda melindungi penjaga mereka itu. Kami berkata sesama sendiri, jika kami memberi makanan kepada mereka pasti mereka baik dengan kami sekaligus dapat menjadi pengawal ruang masuk Gudang ini. Jalan dibelakang ini sunyi. Kebanyakannya dilalui oleh cyclist dari kawasan ini, dan pejalan kaki (ramai foreign workers, budak sekolah dan makcik-makcik). Jadinya tidak sibuk dan bising seperti dijalan utama didepan. Ini memudahkan kerja mengemas. Tak havoc! Ditambah lagi dengan udara segar yang dihasilkan oleh kebun sayuran bersebelahan kuil tersebut.  Nyaman~ (ianya dijadikan satu inspirasi untuk rakan-rakan yang bercadang untuk bercucuk tanam nanti)

Ruangan ini diharapkan dapat dikunjungi oleh masyarakat setempat dan rakan-rakan untuk menjadikannya suatu tempat yang mempunyai fungsi yang pelbagai dan tak akan sunyi dari aktiviti pada hari biasa atau hujung minggu. Kami amat memerlukan tenaga kerja untuk merealisasikan visi ini. Kepada rakan yang berkemahiran seperti bertukang, amatlah dialu-alukan untuk berpartisipasi dalam usaha ini.

Terima kasih kepada geng Coathangers Revolt (Kid, Niesa, Nollie, Shah) Mirdza, Avroco, Rat, Eizzat, yang hadir pada hari Ahad lepas untuk bersama membantu gotong royong ini.

Sesi seterusnya adalah pada 15 & 16 May (Sabtu & Ahad). Dijemput rakan-rakan untuk datang tolong.

Run comrade, run! The old world is behind you!

Gudang Noisy Manifesto

12 May

Salam semua

Untuk pengetahuan semua, beberapa rakan telah bersepakat mahu menjadikan Gudang Noisy (ruang belakang Studio Noisy) sebagai satu pusat sosial dan pusat komuniti. Seperti yang kita sedia maklum, Studio Noisy berfungsi sebagai tempat untuk pertunjukan muzik underground dan kredibiliti tempat ini dalam mengendalikan petunjukan dan membantu scene hardcore punk di Malaysia sudah tidak dapat dinafikan lagi. Atas semangat dan pegangan rakan-rakan ini terhadap prinsip DIY, dan juga setelah di-influence oleh kejayaan beberapa kelab, warehouse atau squat terkenal di serata dunia seperti 924 Gilman (California, US), ABC No Rio (New York, US) Ungdomshuset (Copenhagen, Denmark), Kulturkampanjen’s Cyclops (Stockholm, Sweden) dan 212 Blackhole (Singapura), maka tergerak langkah kelompok sahabat ini untuk menggunakan Gudang Noisy sebaik yang mungkin untuk kesenangan bersama.

Setelah berbincang, beberapa perancangan telah ditetapkan. Mereka bersepakat menjadikan Gudang Noisy ini sebagai tempat berkongsi kemahiran, ilmu dan ide. Antara aktiviti yang bakal dibuat di Gudang Noisy ialah menjadikan gudang ini sebagai bengkel basikal koperatif, bengkel seni dan kraftangan, bengkel bercucuk tanam, tempat masak untuk aturcara Free Food, pusat untuk aktivisme radikal di Kuala Lumpur, mengpromosikan DIY dan kesukarelawan (volunteerism) serta menyediakan perpustakaan mini tanpa bersangkut paut dengan badan-badan koperat dalam usaha menjadikan Gudang Noisy ini autonomi dan bebas.

Antara projek akan datang ialah:
– bengkel koperatif basikal
– bengkel bercucuk tanam
– bengkel kraftangan
– bengkel seni (screenprinting, woodcut etc.)
– bengkel/kelas mempertahankan diri
– bengkel/kelas masak masakan vegan
– bengkel/kelas latihan muzik
– bengkel gaya rambut (potong rambut, dreadlocks etc.)
– bengkel tattoo
– tayangan filem (screening)
– sekolah percuma
– Food Not Bombs
– bengkel mengedalikan bahan buangan (waste management)
– menyediakan ruang/tempat tidur untuk rakan-rakan jauh
dan bermacam lagi. jika kalian punyai ide lain sila tampil dan utarakan cadangan tersebut.

Gudang ini agak terabai selama ini lalu timbul idea untuk menukar dan memanafaatkan ruang ini serta inisiatif dengan membersihkan ruang tersebut sekaligus memberi rupa baru kepadanya. Buat masa ini, terdapat hanya beberapa teman-teman yang menjalankan kerja-kerja pembersihan, akan tetapi masih banyak yang perlu dilakukan untuk menjadikan ruang ini boleh digunapakai dengan tahap optimum bersama-sama, untuk kesenangan dan sebagai benefit kepada komuniti.

Tetapi beberapa masalah timbul di Gudang Noisy yang sudah kami kenal pasti. Untuk menyelesaikan masalah ini kami sangat mengharapkan pertolongan teman-teman terutamanya yang arif dalam hal seperti pempaipan (plumbing), locksmith dan sistem elektrik. Kemahiran-kemahiran ini juga secara tidak langsung dapat dikongsi untuk pengetahuan bersama. Dengan adanya rakan-rakan ini, ia dapat mengurangkan kos belanja untuk gudang tersebut.Selain daripada itu juga, tenaga manusia secara sukarela amat diperlukan untuk kerja-kerja mengemas Gudang Noisy. Diharap, kepada sesiapa yang mempunyai visi seperti rakan-rakan ini, silalah tampil untuk membantu apa yang termampu. Setiap usaha anda amatlah dihargai. Seperti apa yang aku cakap tadi, ianya adalah untuk benefit komuniti dan sesama kita.

Memandangkan kewangan yang terhad, terdapat beberapa kelengkapan yang diperlukan dalam proses membaikpulih dan memastikan kelancaran aktiviti yang disebutkan diatas. Anda dijemput untuk menderma/meminjam barangan tersebut:

– Bekas-bekas plastik kosong (plastik containers)
– Bekas plastik size baldi
– Alatan mencucuk tanam (cangkul etc.)
– Alatan menukang (gergaji elektrik etc.)
– Rak buku untuk Mini Library
– white/black board
– Mesin Jahit
– Printer
– Projector
– A4 paper (yang boleh didapati dengan percuma dari pejabat anda)
– Barangan membersih (sabun, berus, kain lap dari tuala lama etc.)
– atau apa sahaja yang anda rasa perlu

Akhir sekali, sebarang bentuk sumbangan wang akan kami terima. Segala bentuk sumbangan wang tersebut akan kami gunakan untuk membaikpulih Gudang Noisy, bukan untuk keuntungan. Sebarang pertanyaan sila kemukakan. Diharap, impian kita untuk mempunyai pusat komuniti dan pusat sosial di Kuala Lumpur akan menjadi kenyataan. Sebarang update di masa akan datang akan aku kemukakan di sini.

Sekian

contact: Arip (012-7968504), Nunu (012-9699088) and Cem (016-2263072)